Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Haruman atau wangian yang terhasil dari darah rusa, kijang ataupun antelop dikenali dengan wangian kasturi. Di dalam Bahasa Arab ianya disebut dengan al-Misk (الْمِسْكُ).
Dari sudut istilahnya, telah berkata al-Bunani yang menaqalkannya daripada al-Hafiz Ibn Hajar bahawa al-Misk itu adalah darah yang terkumpul pada bahagian pusat rusa/kijang/gazelle/antelop pada satu masa yang diketahui daripada tahun tertentu. Apabila terkumpulnya darah tersebut, maka ianya akan membengkak maka rusa akan berasa sakit sehingga membawa kepada gugurnya gumpalan tersebut. (Lihat Hasyiah al-Bunani ‘ala Hamisy al-Zurqani, 1/27)
Halal dan Bersihnya Kasturi (al-Misk)
Telah berpendapat para ulama’ bahawa kasturi itu halal lagi bersih. Dibolehkan untuk memakannya dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa keadaan sama ada dalam bentuk makanan dan juga perubatan sama ada darurat ataupun tidak. Ini kerana sesungguhnya darah yang pada asalnya telah bertukar (berlaku proses istihalah) kepada sesuatu yang baik dan menjadi bersih. Dalam sebuah hadith Nabi SAW:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ذَكَرَ امْرَأَةً مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ حَشَتْ خَاتَمَهَا مِسْكًا وَالْمِسْكُ أَطْيَبُ الطِّيبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menyebut mengenai wanita daripada Bani Israel yang mengisi cincinnya dengan kasturi dan kasturi adalah wangian yang sangat harum.”
Riwayat Muslim (2252)
Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa minyak kasturi adalah merupakan minyak wangi yang paling baik dan paling utama. Ia juga menjelaskan bahawa minyak kasturi adalah suci, sehingga boleh digunakan untuk badan dan pakaian, serta boleh juga untuk dijual. Semua perkara ini merupakan sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama’. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/615)
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:
أَطْيَبُ الطِّيبِ الْمِسْكُ
Maksudnya: “Wangian yang paling harum baunya adalah al-Misk (kasturi).”
Riwayat Muslim (2252), al-Tirmizi (991), al-Nasa’ie (1905) dan Ahmad (11329)
Al-Qadhi ‘Iyadh di dalam kitabnya Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim iaitu syarah kepada Sahih Muslim mengatakan bahawa hadith di atas menjadi dalil akan bersihnya kasturi dan dibolehkan untuk menggunakannya. (Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim, 7/193)
Di dalam fiqh al-Syafi’e pula, al-Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj turut mengatakan bahawa kasturi itu bersih juga berdasarkan hadith di atas. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/233)
Kesimpulan
Berdasarkan hadith serta kenyataan para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa penggunaan minyak kasturi sebagai wangian adalah dibenarkan dan dihukum sebagai suci kasturi tersebut. Ini kerana terdapat dalil yang sahih mengenai kesucian kasturi. Al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya yang lain, al-Iqna’ mengatakan adanya hadith Muslim menjadikan hukumnya suci.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H