Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan maksud alam barzakh?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kematian adalah sesuatu yang pasti dan setiap yang hidup akan merasai kematian bahkan tidak ada satu pun dari kalangan yang bernyawa akan terlepas daripada kematian. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: ”Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati kemudian kamu akan dikembalikan kepada kami (untuk menerima balasan).”[1]
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din (4/494) menjelaskan bahawa kematian sebenarnya hanyalah perubahan keadaan yang dialami oleh ruh, daripada memiliki kuasa penuh ke atas jasad kepada kehilangan kuasa itu. Ruh yang sebelumnya dengan berleluasa menggunakan mata untuk melihat, kaki untuk berjalan, telinga untuk mendengar dan semua anggota jasad yang lain sebagai alat bantunya, pada saat itu, ia tidak mampu melakukannya lagi.
Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah (hlm. 18) menyebut: Para ulama’ menyatakan bahawa kematian bukan hanya musnah atau lenyapnya seseorang dan tidak akan ada lagi kejadian setelah itu, tetapi kematian adalah terputus atau terpisahnya hubungan antara ruh dengan badan, bertukar atau berpindahnya suatu keadaan kepada keadaan yang lain, suatu tempat ke tempat lain, dan ia (mati) merupakan salah satu musibah yang paling besar. Mati dinamakan dengan musibah, berdasarkan firman Allah SWT:
فَأَصَابَتْكُم مُّصِيبَةُ الْمَوْتِ ۚ
Maksudnya: “...lalu kamu ditimpa musibah kematian.”[2]
Para ulama’ berkata: “Tetapi ada perkara yang lebih dahsyat daripada kematian, iaitu lalai dalam menghadapi kematian, berpaling dan sedikit mengingati kematian, serta meninggalkan daripada beramal soleh yang merupakan bekal setelah kematian. Bahkan pada kematian terdapat pesanan serta pelajaran bagi orang yang berfikir.”[3]
Kematian dalam Islam bukanlah kemusnahan untuk selama-lamanya seperti yang dipercayai oleh orang-orang yang sesat dan jahil. Kematian adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, dari satu peringkat ke peringkat lain, dan dari satu persinggahan ke persinggahan seterusnya.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menyebut:
إِنَّمَا خُلِقْتُمْ لِلأَبَدِ ، وَلَكِنَّكُمْ تُنْقَلُونَ مِنْ دَارٍ إِلَى دَارٍ
Maksudnya: “Kamu semua dicipta untuk kehidupan yang lebih abadi. Kamu sebenarnya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.”[4]
Abu al-ʿAtahiyyah, seorang penyair terkenal mengungkapkan:
وَما الموْتُ إلاّ رِحْلَة ٌ، غَيرَ أنّهَا مِنَ المنْزِلِ الفَاني إلى المنزِلِ الباَقي
Bukanlah kematian itu kecuali adalah sebuah perjalanan
Dari tempat musnah ke tempat yang abadi selama-lamanya[5]
Mayat yang berada di dalam kuburnya hidup secara alam Barzakh. Menerima nikmat ataupun merasai seksaan sebagai permulaan kepada kehidupan akhirat yang abadi. Sama ada seseorang itu diberi balasan baik, ataupun dikenakan seksaan.[6]
Maksud Alam Barzakh
Menurut kamus Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur: Makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh.[7]
Disebut dalam Mukhtar al-Sihah: Makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh.[8]
Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat berkata: Al-Barzakh (البرزخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara.[9]
Allah SWT berfirman:
وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”[10]
Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas menukilkan beberapa pandangan, antaranya:
- Muhammad bin Ka`ab mentakrifkannya sebagai sesuatu antara dunia dan akhirat, bukan bersama ahli dunia yang boleh makan dan minum dan bukan bersama ahli akhirat yang menerima balasan amal mereka.
- Abu Sakhr mengatakan al-barzakh adalah kubur, bukan di dunia, bukan di akhirat. Mereka menetap di dalamnya sehingga hari dibangkitkan.
- Al-Dahhak menyebut, ia adalah satu tempoh antara kematian dan hari dibangkitkan.
- Mujahid pula memberi definisi al-barzakh sebagai penghalang untuk mereka (orang yang mati) kembali ke dunia.[11]
Imam al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan.[12]
Menurut Syeikh Ali al-Sobuni, alam barzakh adalah alam yang dilalui oleh manusia setelah meninggal dunia. Barzakh dari sudut bahasa adalah pemisah antara dua benda. Alam selepas kematian dinamakan alam barzakh. Ini kerana, ia menjadi pemisah antara alam dunia dan alam akhirat.[13]
Syeikh al-Maraghi berkata: “Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya.[14]
Semoga dengan penjelasan ini dapat menambahkan keimanan kita kepada hal-hal yang ghaib. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 17 Januari 2022 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1443H
[1] Surah al-’Ankabut: 57
[2] Surah al-Ma’idah: 106
[3] Lihat al-Tazkirah, hlm. 18-19
[4] Lihat Hilyah al-Auliya’, 5/287
[5] Lihat Diwan Abi al-'Atahiyyah, hlm. 223
[6] Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/273
[7] Lihat Lisan al-Arab, 3/8
[8] Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 73
[9] Lihat al-Ta’rifat, hlm. 45
[10] Surah al-Mukminun: 100
[11] Lihat Tafsir al-Quran al-`Azim, 5/494. Lihat juga Ma’alim al-Tanzil, 5/428
[12] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 6/113
[13] Lihat Safwat al-Tafasir, 2/293
[14] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690