Skip to content

S:4 Tidak menghafal Surah al-Fatihah

Posted on:July 5, 2023 at 02:05 AM

JAWAPAN

Apabila seorang bukan Muslim sudah memasuki agama Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam. Pada asalnya, dua bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah Surah al-Fatihah, tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Bagi mualaf, kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah. Untuk perbahasan lanjut, boleh rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 217); al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (1/255-256); Nihayah al-Muhtaj (1/484-485); Mughni al-Muhtaj (1/357-358); al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/374).

  1. Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan memegang lampiran kertas yang ada Surah al-Fatihah. Atau disimpan bacaannya dalam telefon pintar, tab dan sebagainya yang mudah dipegang ketika solat.
  2. Jika sudah boleh membacanya tetapi tidak menghafal sepenuhnya, diwajibkan membaca Surah al-Fatihah sekadar kemampuan dan hafalannya dan diulang-ulang.
  3. Jika tidak boleh membaca dan tidak menghafalnya tetapi mampu mengikut bacaan, dicadangkan untuk mualaf terbabit dibantu oleh seorang fasilitator yang boleh membaca Surah al-Fatihah dengan baik. Contohnya, fasilitator berkenaan boleh bersolat dengan menjadi imam / bersolat di sebelah / tidak bersolat dengan menguatkan bacaannya supaya diulangi oleh mualaf. Selain itu, mualaf berkenaan boleh juga menggunakan alat perakam suara atau telefon pintar yang disertakan earphone supaya tidak mengganggu jemaah lain.
  4. Jika tidak mampu membaca, menghafal Surah al-Fatihah dan mengikut bacaan fasilitator ataupun tiada fasilitator yang dapat membantu, dibolehkan membaca 7 ayat daripada mana-mana surah dalam al-Qur’an ataupun diulang-ulang ayat al-Qur’an yang sama. Boleh juga digabungkan bacaan sebahagian Surah al-Fatihah dan sebahagian surah-surah lain yang dihafal.
  5. Jika tidak tahu membaca dan tidak menghafalnya, berzikirlah dengan apa-apa sahaja zikir yang telah dihafal. Misalnya (سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله ، والله أكبر ، ولا حول ولا قوة إلا بالله)
  6. Jika tidak tahu membaca, tidak menghafalnya dan tidak tahu apa-apa zikir yang boleh dibaca, maka dia hanya perlu menuruti sahaja imam tanpa perlu membaca apa-apa. Walaubagaimanapun, tetap wajib baginya untuk belajar sehingga mampu membaca dan menghafalnya dengan fasih.

Allah SWT sentiasa memandang usaha dan kesungguhan para mualaf untuk mempelajari al-Qur’an dengan baik. Kesalahan dan ketidakfasihan pada peringkat awal pembelajaran, usahlah dijadikan penghalang untuk berusaha. Itu perkara biasa. Tahniah dan teruskan usaha. Wallahu a’lam.