Skip to content

S:40 Gangguan Makhluk Halus di Rumah

Posted on:December 9, 2023 at 06:59 AM

SOALAN

Sehari dua ini heboh di Kubang Kerian, rumah dipecah masuk toyol. YB Senator ada cadangan bagaimana untuk melindungi rumah daripada gangguan makhluk halus?

JAWAPAN

Kemungkinan ia perbuatan pencuri. Kemungkinan juga perbuatan makhluk halus. Apa jua nama makhluk halus dalam dunia Melayu, semuanya merujuk kepada jin dan syaitan. Jin adalah sebahagian daripada makhluk Allah. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: _“_Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

(Surah al-Hijr: 26-27)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20).

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

Maksudnya: “Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu”.

Riwayat Muslim (2996); Riwayat Ahmad (25194); dan Riwayat Ibn Hibban (6155)

Menurut Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan dan lainnya, berkenaan penciptaan jin daripada “مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ”, maksudnya ialah hujung api membara (طرف اللهب) dan dalam riwayat yang lain bermaksud daripada api yang tulen (من خالصه). (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 1/59).

Jin terbahagi kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Tha’labah al-Khusyani R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْجِنُّ ثَلاَثَةُ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ فِي الْهَوَاءِ ، وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلاَبٌ ، وَصِنْفٌ يَحِلُّونَ وَيَظْعَنُونَ

Maksudnya: “Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah seperti Arab Badwi.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3702)

Beberapa saranan saya bagi mengelakkan rumah diceroboh daripada sebaran perkara yang tidak diingini adalah:

  1. Melazimkan bacaan al-Qur’an terutamanya Surah al-Baqarah dan Ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” 

Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’i (10735)

Menurut Ibn Mas’ud R.A pula, katanya:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)

  1. Membanyakkan zikrullah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia berzikir kepadanya ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.”

Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765)

  1. Membaca doa ketika hendak masuk ke dalam rumah dan kemudian memberi salam kepada mereka yang berada di dalam rumah. Doanya adalah:

اللَّهُمَّ ‌إِنِّي ‌أَسْأَلُكَ ‌خَيْرَ ‌الْمَوْلَجِ، ‌وَخَيْرَ ‌الْمَخْرَجِ، ‌بِسْمِ ‌اللَّهِ ‌وَلَجْنَا، ‌وَبِسْمِ ‌اللَّهِ ‌خَرَجْنَا، ‌وَعَلَى ‌اللَّهِ ‌رَبِّنَا ‌تَوَكَّلْنَا

Maksudnya: “__Ya, Allah sesungguhnya aku memohon kepada Mu kebaikan ketika masuk dan kebaikan ketika keluar. Dengan menyebut nama Allah kami masuk dan kami keluar. Dan hanya kepada Rabb kami, kami bertawakal”

Riwayat Abu Daud, no. 5096

Insya-Allah dengan panduan sunnah Rasulullah SAW saat ingin masuk ke rumah, kita akan dilindungi daripada gangguan jin, manusia dan sebarang musibah dengan izin-Nya. Selain meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT, ikhtiar seperti mengaktifkan kawalan Rukun Tetangga, memasang CCTV, menggajikan pengawal atau meletakkan alat penggera juga perlu dilakukan. Wallahu a’lam.