Skip to content

S:420 Memakan Daging Keldai

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging keldai? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Maksudnya: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

(Surah Luqman: 19)

Ayat ini mengandungi nasihat buat kita agar jangan menyombongkan diri ketika berjalan. ‘Ata’ menyebutkan bahawa maknanya ialah berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Kemudian, kita juga diingatkan untuk merendahkan suara dan jangan meninggikannya tanpa sebarang keperluan kerana mengangkat suara melebihi daripada keperluan yang diperlukan akan mengganggu orang yang mendengar. Hal ini kerana suara yang paling buruk dan paling dibenci ialah suara keldai yang cukup dikenali dengan kedunguannya dan suaranya yang kuat memekik. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 541, Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 412. )

Definisi keldai

Keldai atau nama saintifiknya Equus Asinus ialah sejenis binatang yang seakan-akan kuda tetapi lebih kecil dan telinganya panjang.[1] Keldai ialah nama yang diberi kepada keldai baka jinak. Keldai liar di utara dan timur laut Afrika adalah leluhur kepada keldai. Keldai liar kelihatan seperti kuda belang tetapi tidak berbelang kecuali kadangkala pada kakinya. Keldai tingginya lebih kurang 1.2 meter pada paras bahu. Bulunya berwarna kelabu dengan garis lebih gelap di sepanjang belakangnya. Ciri-ciri lain haiwan ini adalah telinga yang panjang, tapak kaki yang kecil, dan bulu yang panjang di hujung ekornya. Pembiak baka terpilih menghasilkan keldai yang berbeza-beza saiz, warna dan bulunya.

Keldai bela jinak paling biasa terdapat di selatan Asia, selatan Eropah dan utara Afrika. Peneroka British memperkenalkan keldai ke Australia untuk membawa barang. Kini keldai liar banyak terdapat di utara Australia. Terdapat beberapa spesies keldai. Keldai betina menghasilkan susu yang baik. Jika keldai jantan dibiakkan dengan kuda betina, anak yang dilahirkan itu dinamakan sebagai baghal. Kacukan antara keldai betina dengan stallion (kuda jantan), dinamakan hinny.  Lain-lain jenis keldai liar hidup di Asia. Ia termasuk kiang, kulan dan onager. Kesemua keldai liar jarang ditemui dan mengalami kepupusan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 10/531.)

Hukum memakan daging keldai

Para ulama telah membahagikan perbahasan mengenai keldai kepada dua, iaitu keldai ahli (peliharaan atau domestik) dan keldai liar. Bagi keldai liar, dagingnya adalah halal untuk dimakan sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya. dan Imam al-Nawawi. Bahkan Imam al-Nawawi telah menukilkan bahawa para ulama telah sepakat mengenainya, yakni haiwan-haiwan liar seperti keldai, lembu, kambing gurun dan antelop adalah halal untuk dimakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/150,  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9.)

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada riwayat Abu Qatadah, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَالمَدِينَةِ وَهُمْ مُحْرِمُونَ، وَأَنَا رَجُلٌ حِلٌّ عَلَى فَرَسٍ، وَكُنْتُ رَقَّاءً عَلَى الجِبَالِ. فَبَيْنَا أَنَا عَلَى ذَلِكَ، إِذْ رَأَيْتُ النَّاسَ مُتَشَوِّفِينَ لِشَيْءٍ، فَذَهَبْتُ أَنْظُرُ، فَإِذَا هُوَ حِمَارُ وَحْشٍ. فَقُلْتُ لَهُمْ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: لاَ نَدْرِي. قُلْتُ: هُوَ حِمَارٌ وَحْشِيٌّ. فَقَالُوا: هُوَ مَا رَأَيْتَ. وَكُنْتُ نَسِيتُ سَوْطِي، فَقُلْتُ لَهُمْ: نَاوِلُونِي سَوْطِي. فَقَالُوا: لاَ نُعِينُكَ عَلَيْهِ. فَنَزَلْتُ فَأَخَذْتُهُ. ثُمَّ ضَرَبْتُ فِي أَثَرِهِ، فَلَمْ يَكُنْ إِلَّا ذَاكَ حَتَّى عَقَرْتُهُ. فَأَتَيْتُ إِلَيْهِمْ، فَقُلْتُ لَهُمْ: قُومُوا فَاحْتَمِلُوا. قَالُوا: لاَ نَمَسُّهُ. فَحَمَلْتُهُ حَتَّى جِئْتُهُمْ بِهِ، فَأَبَى بَعْضُهُمْ، وَأَكَلَ بَعْضُهُمْ. فَقُلْتُ لَهُمْ: أَنَا أَسْتَوْقِفُ لَكُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَأَدْرَكْتُهُ فَحَدَّثْتُهُ الحَدِيثَ. فَقَالَ لِي: «أَبَقِيَ مَعَكُمْ شَيْءٌ مِنْهُ؟» قُلْتُ: نَعَمْ. فَقَالَ: كُلُوا، فَهُوَ طُعْمٌ أَطْعَمَكُمُوهُ اللَّهُ

Maksudnya:Aku bersama Nabi SAW di satu tempat di antara Makkah dan Madinah dan mereka sedang dalam keadaan berihram sedangkan aku tidak berada dalam keadaan berihram (dan aku sedang berada) di atas kuda serta (pada ketika itu) aku sedang mendaki gunung. Ketika aku sedang mendaki gunung, aku mendapati orang ramai sedang memerhatikan sesuatu, lalu aku pergi untuk melihatnya dan ternyata ia adalah keldai liar. Maka, aku bertanya kepada mereka: ‘Apakah ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu.’ Aku berkata: ‘Ini ialah keldai liar.’ Mereka pun berkata: ‘Ia sebagaimana yang kamu lihat.’ Pada ketika itu, aku lupa (untuk mengambil) cemetiku, lalu aku pun berkata kepada mereka: ‘Berikan kepadaku cemetiku.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan membantumu untuk menangkapnya.’ Lalu aku turun dan mengambilnya (cemeti tersebut). Kemudian aku pergi menjejakinya dan terus (mengejarnya) sehinggalah aku berjaya (menangkapnya dan) menyembelihnya. Kemudian aku datang bertemu mereka dan aku berkata: ‘Bangunlah dan angkatlah ia.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak akan menyentuhnya.’ Lalu aku telah mengangkatnya sehinggalah aku membawanya kepada mereka. Sebahagian daripada mereka enggan (untuk memakannya) manakala sebahagian yang lain pula telah memakannya. Lalu aku berkata kepada mereka: ‘Aku akan meminta penjelasan untuk kamu daripada Nabi SAW.’ Setelah itu, aku telah bertemu dengan Baginda dan menyampaikan kepadanya mengenai kejadian itu. Baginda SAW bertanya kepadaku: ‘Adakah masih terdapat bersama kamu sesuatu daripadanya (lebihan daging tersebut)?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Baginda SAW bersabda: ‘Makanlah kerana ia adalah makanan yang Allah kurniakan kepada kamu semua.’

Riwayat al-Bukhari (5492)

Dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:

هُوَ حَلَالٌ، فَكُلُوهُ

Maksudnya: “Ia (daging itu) adalah halal, maka makanlah.”

Riwayat Muslim (1196)

Manakala keldai ahli pula adalah haram untuk dimakan. Imam al-Nawawi telah menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama terdahulu mahupun terkemudian. Malah, al-Khattabi menyebutkan bahawa ia merupakan pendapat seluruh ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/6.)

Selain itu, Ibn Qudamah ada menukilkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama Muslimin pada hari ini akan keharaman daging keldai ahli (peliharaan dan domestik). Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan sahabat yang meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan pengharaman daging itu seperti Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin ‘Amr, Jabir, al-Bara’, Abdullah bin Abu Aufa, Anas dan Zahir al-Aslami dengan sanad-sanad yang sahih lagi baik. (Lihat al-Mughni, 9/407.)

Larangan ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ مُتْعَةِ النِّسَاءِ يَوْمَ خَيْبَرَ، وَعَنْ أَكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الإِنْسِيَّةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada melakukan (nikah) mut‘ah terhadap wanita pada hari (peperangan) Khaibar serta (melarang) daripada memakan daging keldai peliharaan.”

Riwayat al-Bukhari (4216) dan Muslim (1407)

Begitu juga daripada riwayat Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهى النبيُّ ﷺ عن أكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الأهْلِيَّةِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan daging keldai peliharaan.”

Riwayat al-Bukhari (4218) dan Muslim (561)

Sebab pengharaman daging keldai ahli

Ibn Qudamah menyebutkan bahawa sebab pengharamannya adalah sudah jelas, iaitu kerana ia memakan kotoran berdasarkan riwayat Abdullah bin Abu Aufa. (Lihat al-Mughni, 9/407). Dalam riwayat tersebut, Ibn Abi Aufa R.Anhuma berkata:

أَصَابَتْنَا مَجَاعَةٌ يَوْمَ خَيْبَرَ فَإِنَّ القُدُورَ لَتَغْلِي، قَالَ: وَبَعْضُهَا نَضِجَتْ، فَجَاءَ مُنَادِي النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَأْكُلُوا مِنْ لُحُومِ الحُمُرِ شَيْئًا، وَأَهْرِقُوهَا. قَالَ ابْنُ أَبِي أَوْفَى: فَتَحَدَّثْنَا أَنَّهُ إِنَّمَا نَهَى عَنْهَا لِأَنَّهَا لَمْ تُخَمَّسْ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَهَى عَنْهَا البَتَّةَ لِأَنَّهَا كَانَتْ تَأْكُلُ العَذِرَةَ

Maksudnya: “Kami mengalami kelaparan pada hari (berlakunya peperangan) Khaibar dan sesungguhnya periuk-periuk sedang mendidih. Dia berkata lagi: “Dan sebahagiannya telah masak.” Kemudian datang penyeru (yang diutus oleh) Nabi SAW menyeru dengan berkata: “Janganlah kamu makan daripada daging-daging keldai itu walaupun sedikit dan buangkanlah ia.” Ibn Abi Aufa berkata: “Kami pun saling berbincang bahawa sesungguhnya Baginda melarang daripada (memakannya) kerana belum dibahagikan seperlima daripadanya.” Dan sebahagian mereka pula berkata: “Baginda melarang memakannya sama sekali kerana keldai biasanya memakan kotoran.”

Riwayat al-Bukhari (4220)

Manakala Anas bin Malik R.A meriwayatkan pada hari khaibar bahawa Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia:

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan rasul-Nya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai kerana ia adalah kotor atau najis.”

Riwayat al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)]

Al-Syaukani telah menukilkan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menyatakan bahawa telah hilang kemungkinan-kemungkinan (ihtimalat) tersebut dengan hadith Anas yang menyebutkan bahawa (فَإِنَّهَا رِجْسٌ — “kerana ia adalah najis.”). Demikianlah juga, perintah supaya membasuh bekasnya. Al-Qurtubi ada menyebutkan bahawa dhamir (ها) pada lafaz (فَإِنَّهَا رِجْسٌ) kembali kepada daging keldai tersebut kerana ia ialah topik atau perkara yang dibahaskan serta yang diperintahkan untuk dituang (yakni dibuang) dan dibasuh bekasnya. Justeru, ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah najis dan ia menunjukkan bahawa pengharaman daripada memakan dagingnya itu adalah disebabkan oleh zatnya sendiri dan bukannya faktor luar.  Begitu juga, Ibn Daqiq al-‘Id ada menyatakan bahawa perintah supaya menuangkan periuk tersebut secara zahirnya adalah disebabkan oleh keharaman daging keldai peliharaan itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/129 dan Fath al-Bari, 9/656.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami menyimpulkan pendapat kami sebagaimana berikut:

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=keldai.