Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan anjing laut? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”
(Surah al-An‘am: 145)
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”
(Surah Ma’idah: 4)Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]
Definisi anjing laut
Anjing laut ialah mamalia laut yang kelihatan licin berkilat dengan badannya berbentuk seperti tornado. Anjing laut adalah perenang yang terhandal dan menghabiskan banyak masa dalam air. Tetapi ia melahirkan anak di darat. Kebanyakan jenis anjing laut hidup di lautan atau di laut pedalaman, tetapi beberapa jenis hidup dalam air tawar. Anjing laut Baikal, misalnya, hidup di Tasik Baikal di Rusia. Anjing laut banyak terdapat terutamanya di laut kutub, tetapi ia kurang biasa terdapat di laut tropika.
Sesetengah jenis anjing laut mempunyai kepala yang kecil, hidung pendek yang menjadikan mukanya kelihatan “tertolak ke dalam”. Kesemua anjing laut mempunyai lubang hidung bak lekah, yang ditutupnya semasa ia berenang dalam air. Anjing laut mempunyai empat kaki, tetapi tulang kaki atas baku lalinya terbenam di dalam badan. Bahagian yang menganjur ke luar, termasuk hujung kaki, membentuk kaki sirip bak dayung yang besar. Kaki sirip depan anjing laut bulu dan singa laut adalah lebih panjang dan lebih rata daripada kaki sirip spesies-spesies lain. Anjing laut bulu, singa laut, dan walrus memutarkan kaki sirip belakangnya ke hadapan dan ke bawah untuk membantu menyokong badannya di darat. Ia berjalan menggunakan keempat-empat kaki sirip. Kaki sirip belakang pada anjing laut tanpa telinga menganjur lurus ke belakang, tapak kaki bertemu tapak kaki. Anjing laut ini tidak boleh memutarkan kaki siripnya ke hadapan. Ia menggerakkan dirinya di darat atau ais dengan mengkontraksi mengikut ritma otot perutnya yang kuat.
Anjing laut memakan pelbagai haiwan laut. Anjing laut bulu dan singa laut memakan terutamanya ikan, sotong, dan anjing laut pelabuhan memakan terutamanya ikan dan sotong kurita. Anjing laut pemakan ketam dan anjing laut lurik memakan terutamanya udang kecil. Anjing laut gajah lebih suka jerung kecil dan pari, yang ditangkap di laut dalam, dan anjing laut leopard memakan ikan dan kadangkala memakan peguin. Walrus memakan kima. Anjing laut mempunyai gigi yang tajam, tirus yang dengannya ia mencekau dan mengoyakkan kebanyakan pemangsanya. Ia tidak boleh mengunyah makanan kerana giginya tidak mempunyai permukaan yang rata. Ia menelan ikan kecil bulat-bulat.
Musuh anjing laut yang paling utama ialah pemburu. Mereka memburunya bagi mendapatkan bulunya. Selepas bulunya dibuang, daging anjing laut kadangkala dibekusejukkan dan dijual sebagai makanan haiwan. Sesetengah orang Eskimo dan orang Alaska yang lain memakan daging anjing laut. Dagingnya mempunyai rasa kuat yang tidak digemari kebanyakan orang di bahagian-bahagian lain di dunia. Bluber anjing laut digunakan untuk memasak atau dibakar untuk mendapatkan cahaya dan haba. Orang Eskimo juga membuat pakaian perburuan daripada kulit anjing laut lurik dan menggunakan kulit walrus untuk menutupi bingkai kayu bot mereka. Mereka meregangkan usus anjing laut dan menjahit jalur-jalur usus tersebut untuk membuat baju hujan. Pada tahun 1800-an, terlalu banyak anjing laut dibunuh hinggakan beberapa sahaja yang terselamat. Beberapa negara bertengkar tentang bagaimana anjing laut bulu sepatutnya dibunuh. Pada tahun 1911, Kanada, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian untuk melindungi anjing laut bulu utara. Pada tahun itu, terdapat kira-kira 15000 anjing laut bulu utara di Kepulauan Pribilof di Laut Bering, yang menjadi hos kepada kawanan pembiakan yang terbesar di dunia. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 1/642-645.)
Selain itu, anjing laut boleh tinggal di luar air untuk jangka masa yang panjang, bergantung pada keperluan haiwan itu. Ia boleh menjadi perkara biasa bagi sesetengah spesies anjing laut untuk menghabiskan beberapa hari hingga seminggu pada satu masa luar dari air.[2] Anjing laut tidur di dalam air dan juga di darat. Di dalam air, mereka tidur terapung dalam keadaan berdiri atau terapung mendatar di permukaan. Oleh kerana mereka sedang tidur dan tidak aktif berenang, mereka boleh berada di bawah air lebih lama daripada ketika memburu makanan. Terdapat insiden yang diketahui di mana anjing laut berada di bawah air sehingga setengah jam, namun secara purata, mereka berada di bawah air tidak lebih daripada lima belas minit.[3]
Hidupan air
Haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128.)
Secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”
Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548).
Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34).
Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
Haiwan dua alam
Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haiwan dua alam adalah haram untuk dimakan. Haiwan dua alam yang dimaksudkan ialah haiwan yang dapat hidup secara berterusan sama ada di daratan mahupun lautan (yakni air), jika tiada baginya sebarang bandingan dengan haiwan di darat yang halal dimakan. Di antara contoh haiwan dua alam yang disebutkan oleh mereka ialah katak, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu. Pengharaman haiwan jenis dua alam ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Raudhah serta pendapat yang dipegang oleh al-Ramli.
Imam al-Nawawi kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[4] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[5] maka haram bangkainya. ( Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33.)
Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549.)
Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:
مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ
Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”
Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566.)
Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/199; 2/230.)
Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan ada menukilkan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Hanbali yang berpendapat bahawa semua haiwan laut (hidupan air) yang dapat hidup di atas daratan adalah tidak halal untuk dimakan kecuali setelah disembelih mengikut syarak seperti burung air, penyu, dan anjing laut, melainkan haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam kerana ia adalah halal untuk dimakan tanpa berhajat kepada sembelihan. (Lihat al-At‘imah wa Ahkam al-Said wa al-Zaba’ih, hlm. 91.)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa anjing laut adalah halal dimakan kerana ia termasuk dalam hidupan laut. Lebih-lebih lagi, para ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i juga menjadikan anjing laut ini sebagai contoh hidupan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan dan halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan.
Kemampuannya untuk hidup di atas daratan dalam beberapa keadaan juga tidak menjejaskan penisbahannya kepada haiwan air kerana kebanyakan hidupnya adalah di dalam air. Justeru, ia tetap mengambil hukum haiwan air yang halal bangkainya dan tidak perlu kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Akan tetapi, di sisi ulama mazhab Syafi‘i, mereka berpendapat disunatkan untuk menyembelih haiwan air yang dapat hidup lama di luar air (lambat mati) bagi mempercepatkan lagi kematiannya seperti ikan besar. ( Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/72; Mughni al-Muhtaj, 6/99).
Justeru, hal yang sama terpakai kepada anjing laut yang dikatakan dapat menghabiskan beberapa hari hingga seminggu pada satu masa apabila berada luar dari air.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H
[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.
[2] Lihat https://www.ifaw.org/international/journal/faqs-about-seals#:~:text=How%20long%20can%20seals%20stay,time%20out%20of%20the%20water.
[3] Lihat https://www.ecomare.nl/en/in-depth/reading-material/animals/seals/.
[4] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.
[5] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.