Soalan
Benarkah ayam berkokok merupakan tanda ayam melihat malaikat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Persoalan berkenaan ayam berkokok apabila melihat malaikat adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada Allah SWT akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”.
Riwayat al-Bukhari, (3058), Muslim (4908), Abu Dawud, (4438) dan al-Tirmizi, (3381)
Dalam riwayat Imam Ahmad, terdapat tambahan lafaz iaitu ’pada malam hari’,
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ مِنَ اللَّيْلِ، فَإِنَّمَا رَأَتْ مَلَكًا، فَسَلُوا اللهَ مِنْ فَضْلِهِ
Maksudnya: Apabila kamu mendengar ayam berkokok di malam hari, sesungguhnya ia melihat Malaikat. Oleh itu, mintalah kepada Allah akan kurniaan-Nya.
Riwayat Ahmad (8064) Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (8764) menyatakan hadith ini sahih berdasarkan syarat al-BukhariKeistimewaan Ayam Jantan
Rasulullah SAW menjadikan bunyi kokok ayam jantan, sebagai tanda kebaikan, iaitu datangnya Malaikat dan kita dianjurkan berdoa. Hal ini menunjukkan keistimewaan ayam jantan.
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyebut: Ayam jantan memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki binatang lain, iaitu ia mengetahui perubahan waktu di malam hari. Dia berkokok di waktu yang tepat dan tidak pernah ketinggalan. Dia berkokok sebelum subuh dan selepas subuh, ia tidak pernah tersalah waktu. Sama ada pada malamnya yang panjang atau yang singkat. Oleh sebab itu, sebahagian ulama’ Syafi’iyah memfatwakan untuk berpegang bahawa ayam jantan mujarab dalam menentukan waktu. (Lihat Fath Bari, 6/353)
Beliau menukilkan pandangan daripada al-Dawudi, katanya: Kita boleh belajar dari ayam jantan 5 perkara iaitu:
- Suaranya yang bagus,
- Bangun di waktu sahur,
- Sifat cemburu,
- Dermawan (suka berkongsi), dan
- Sering berjimak. ((Lihat Fath Bari, 6/353))
Larangan Mencela Ayam
Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَسُبُّوا الدِّيكَ فَإِنَّهُ يُوقِظُ لِلصَّلَاةِ
Maksudnya: Jangan kamu mencela ayam jantan, kerana ia membangunkan orang untuk solat.
Riwayat Abu Dawud (5101), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (10781) dan Ahmad (21679). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (2/431) menyatakan hadith ini sanadnya hasanIbn Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan al-Halimi, katanya: Faedah daripada hadith ini bahawa semua yang boleh memberikan manfaat kebaikan, tidak selayaknya dicela dan dihina. Sebaliknya, dia dimuliakan dan dilayan dengan baik. Sabda baginda SAW: ‘ayam membangunkan (orang) untuk solat’ bukan maksudnya dia menyebut solat secara hakikat’ namun maknanya adalah bahawa kebiasaan ayam berkokok ketika terbit fajar dan ketika tergelincir matahari. Fitrah ayama adalah fitrah yang Allah berikan kepadanya. (Lihat Fath Bari, 6/353)
Galakan Berdoa
Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata ‘Iyadh:
كَانَ السَّبَبُ فِيهِ رَجَاءَ تَأْمِينِ الْمَلَائِكَةِ عَلَى دُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِمْ لَهُ وَشَهَادَتِهِمْ لَهُ بِالْإِخْلَاصِ وَيُؤْخَذُ مِنْهُ اسْتِحْبَابُ الدُّعَاءِ عِنْد حُضُور الصَّالِحين
Maksudnya: Sebab kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin dari Malaikat untuk doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita. Faedah yang boleh diambil daripada hadith ini adalah tuntutan untuk berdoa ketika hadirnya orang-orang yang soleh. (Lihat Fath Bari, 6/353)
Manakala Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Qastalani di dalam syarahnya menyatakan: Para ulama’ memahami makna hadith ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapakan agar para malaikat mengaminkan doa kita dan istighfar para malaikat kepada kita. Selain itu juga, agar para malaikat ini menjadi saksi akan keikhlasan dan kerendahan (kehinaan) diri kita ketika memohon kepada Allah SWT. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan sunat kita berdoa ketika kehadiran orang-orang yang soleh. Antara kelebihan yang ada pada ayam ialah dengan mengetahui waktu-waktu walaupun kadang-kadang siang itu panjang dan juga kadang-kadang siang itu pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci Allah yang menjadikan ayam seperti itu. ( Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 5/309)
Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi pula menyatakan di dalam syarahnya: Dikatakan hadith ini menunjukkan bahawa turunnya rahmat ketika hadirnya orang-orang yang soleh maka kita disunatkan untuk berdoa pada waktu itu. (Lihat Aun al-Ma’bud, 9/238)
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa ayam jantan berkokok disebabkan mereka melihat malaikat adalah benar sebagaimana Rasulullah SAW sebut di dalam hadith yang sahih. Justeru, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah SWT ketika kehadiran malaikat dengan harapan moga-moga Malaikat mengaminkan doa kita.
Akhirnya semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.