Soalan
Manakah yang lebih afdhal, wanita keluar bekerja ataupun berada di rumah. Jika boleh, apakah dhawabitnya.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kebanyakan keluarga hari ini memerlukan suami dan isteri bekerja untuk menampung keperluan rumah tangga yang mendesak. Maka, wanita perlu turut sama bekerja mencari pendapatan untuk membantu suami menampung keperluan keluarga. Justeru, kami terpanggil untuk menjelaskan isu wanita keluar bekerja dan dhawabitnya.
Firman Allah SWT:
وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
(Surah al-Ahzab: 33)
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebut: Para ulama’ berpendapat ia tidak bermakna bahawa wanita tidak keluar langsung daripada rumah. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/179) Mereka boleh keluar daripada rumah dengan syarat-syarat tertentu. Antara syaratnya adalah sepertimana yang diterangkan oleh ayat di atas ialah tidak berhias dan berkelakuan seperti wanita-wanita jahiliyah. Walaubagaimanapun, tidak ada nas yang menjelaskan secara terperinci mengenai maksud kelakuan dan pakaian seperti wanita jahiliah.
Imam al-Jauzi di dalam Ahkam al-Nisa’ menukilkan beberapa pendapat di dalan isu ini. Mujahid dalam menafsirkan ayat ini, katanya, wanita jahiliyah ini berjalan-jalan di tengah khalayak lelaki. Qatadah pula menyatakan bahawa, mereka berjalan dalam keadaan menggiurkan (menggoda). Ibn Abi Jujaih pula menyatakan bahawa mereka memakai bau-bauan. Manakala al-Farra’ pula menyatakan mereka memakai pakaian nipis yang boleh menampakkan badan. (Lihat Ahkam al-Nisa’ hlm. 108)
Tafsiran-tafsiran ini menunjukkan bahawa perbuatan keluar daripada rumah perlu dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah. Ia tentu satu nilai yang subjektif yang boleh berubah penghuraiannya dari masa ke masa dan dari satu keadaan kepada satu keadaan.
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ المُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِي مُرُوطِهِنَّ، ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ.
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang perempuan mukminah juga turut solat Subuh bersama Nabi SAW. Mereka solat dengan berselimutkan kain-kain mereka. Kemudian setelah solat, mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan tiada sesiapa pun mengenali mereka.”
Riwayat al-Bukhari (372)
Sayyid Qutb dalam tafsirnya menyebutkan: Suruhan supaya kaum wanita tetap berada di dalam rumah tidak bererti mereka tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali. Ayat yang dimaksudkan adalah tempat sebenar bagi mereka adalah di rumah, manakala selain daripada tu adalah suatu bentuk pengecualian yang diberikan apabila ada keperluan dengan kadar-kadar tertentu. Rumah adalah satu-satunya tempat yang menjamin nilai-nilai kewanitaan terpelihara seperti yang dikehandaki Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/ 2859-2860)
Dr. Abd Wahid Wafi di dalam al-Muwasat fi al-Islam menyatakan akan keharusan wanita berkerja di luar rumah ataupun mengerjakan kerja-kerja sosial dan kebajikan yang dia sendiri mampu untuk melakukan sesuai dengan sifat kewanitaannya dengan syarat penglibatan tersebut tidak menimbulkan fitnah dari segi akhlak dan sosial. Maka untuk tujuan itu, wanita seharusnya menjaga diri dengan mematuhi segala ketetapan hukum sepertimana yang dikehendaki Allah SWT seperti tidak berpakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan juga tidak bergaul secara bebas. Apa yang paling penting ialah penglibatannya itu tidak menganggu tugasnya yang hakiki iaitu, rumah tangga, suami dan anak-anaknya. (Lihat al-Muwasat fi al-Islam, hlm 46-49)
Sesungguhnya Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan menyuruh mereka menjaga aurat masing-masing, kecuali pada mereka yang ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah al-Nur: 30-31)
Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menjelaskan berbagai hukum berkaitan dengan hubungan antara lelaki dan wanita dan bagaimana menjaga pandangan mata dan kehormatan diri di antara mereka. Menjaga aurat dan pandangan mata adaah suatu yang dituntut ke atas mereka kecuali pada mereka yang dibenarkan Allah SWT sebagaimana yang disebut oleh ayat berkenaan. Walaupun Allah SWT tidak menyebut dalam ayat berkenaan sesuatu yang boleh menjamin terpeliharanya pandangan dan kehormatan diri, namun ia boleh diketahui berdasakran kepada adat dan kebiasaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/222)
Selain daripada adat dan kebiasaan, suasana di mana tindakan keluar rumah itu berlaku dan objektifnya sekali mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam menentukan hukum. Menurut al-Rubayyi’ para wanita yang menyertai Rasulullah SAW dalam peperangan telah memainkan peranan yang menyebabkan mereka bergaul dengan kaum lelaki. Mereka memberikan pelbagai khidmat kepada tentera termasuk menyediakan minuman. Malah mereka membawa pulang tentera-tentera yang luka dan mati. Pada asasnya mereka menjaga prinsip-prinsip umum pergaulan dan tidak ada fitnah yang berlaku. (Lihat Fath al-Bari, 2/247)
Berdasarkan keadaan semasa, alasan bahawa wanita mempunyai kedudkan atau status yang lebih rendah daripada lelaki kerana kurang terdedah kepada dunia luar perlu dinilai semula supaya konsepnya lebih tertumpu kepada hal-hal yang berlaku di seseuatu tempat atau keadaan yang boleh menimbulkan fitnah sahaja. Kematangan psikologi dan corak budaya tempatan juga perlu diambil kira. Hal ini kerana kemungkinan berlakunya fitnah dengan wanita di kalangan lelaki berbeza mengikut kadar kemantapan psikologi dan budaya sesuatu masyarakat.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa afdhalnya wanita adalah berada di rumah. Hal ini kerana rumah merupakan satu-satunya tempat yang dapat menjamin nilai-nilai kewanitaan terpelihara seperti yang dikehandaki Allah SWT. Namun begitu, berdasarkan adat setempat, harus dan dibolehkan untuk wanita keluar berkerja berdasarkan garis panduan dan dhawabit berikut:
- Niat ikhlas bekerja kerana Allah SWT
- Mendapat keizinan bapa atau suami.
- Tidak mengabaikan tanggungjawab rumah tangga, suami dan anak-anak sekiranya telah berkahwin.
- Tidak menimbulkan sebarang fitnah ketika keluar bekerja dan ketika pulang
- Tidak berpakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan juga tidak bergaul secara bebas.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.