Soalan
Islam melarang membazir, apakah maksud sebenar pembaziran?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pembaziran atau pemborosan merupakan sifat yang tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini keji dan mendapat larangan keras dari Allah sebagaimana firman-Nya:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Surah al-Isra’ : 26-27)
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: “Maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, (yang suka membazir dan boros)”. (Lihat Tafsir al-Quran al-Adzim, 3/48)
Bahkan Nabi SAW pernah berpesan dalam hadith yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan berwudhu’. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash R.Anhuma, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ " مَا هَذَا السَّرَفُ " . فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ " نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.
Riwayat Ibn Majah (425), Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir mengatakan sanadnya dhaif (1/224), manakala Imam ‘Alau al-Din dalam Syarh Sunan Ibn Majah mengatakan sanadnya dhaif dan pada makna hadith sanadnya adalah sahih (1/325)Hadith ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dan membazir dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah SAW. Sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.
Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu beliau israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.
Beliau juga berkata: Tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Hal ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur. Atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/421)
Definisi Pembaziran
Sebahagian ulama menyatakan bahawa israf dan membazir itu adalah suatu perkataan yang sama maksudnya. Namun terdapat juga para ulama yang membezakan maksud keduanya itu. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Jurjani iaitu: Israf merupakan penggunaan ke atas sesuatu yang perlu secara berlebihan dari kadar keperluan. Manakala membazir pula penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu. (Lihat Al-Ta’rifat, Hlm. 24)
Pembaziran berasal dari perkataan Arab yang membawa erti menggunakan harta tanpa faedah dan tanpa pahala atau tersalah menetapkan hak pemberian. (Lihat Daur al-Qaim wa al-Akhlak fi al-Iqtishad al-Islami, hlm 253-254)
Ibn Kathir menukilkan pendapat Qatadah dalam mentakrifkan pembaziran: Pembaziran ialah perbelanjaan pada perkara-perkara maksiat yang ditegah Allah dan yang bukan hak atau perkara-perkara yang buruk. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/69)
Manakala berbelanja terhadap perkara-perkara yang baik, bermanfaat, berpahala dan ketaatan adalah digalakan dan tidak membazir walaupun berlebihan selagi ia tidak menjejaskan atau memudharatkan orang yang berbelanja tersebut.
Mujahid dalam menyatakan mengenai pembaziran: "Seandainya seseorang membelanjakan hartanya sebesar gunung dalam keadaan taat kepada Allah maka ia tidaklah termasuk orang-orang yang melampaui batas. Dan seandainya ia membelanjakan satu dirham dalam kemaksiatan kepada Allah maka ia termasuk di antara orang-orang yang melampaui batas." (Lihat Daur al-Qaim wa al-Akhlak fi al-Iqtishad al-Islami, hlm 255)
Jenis-jenis Pembaziran
- Perbelanjaan maksiat.
Perbelanjaan maksiat ialah perbelanjaan dalam perkara-perkara yang salah, buruk atau yang haram. Perbelanjaan maksiat boleh dilihat dari dua sudut: perbelanjaan yang terlarang dan perbelanjaan yang penggunaannya boleh melalaikan manusia daripada mengingati atau mematuhi perintah Allah SWT.
Hal ini sepertimana perbelanjaan ke atas barang yang boleh membawa mudharat sama ada kepada penggunanya atau kepada masyarakat seperti arak. Arak boleh merosakkan akaI peminumnya dan dalam masa yang sama boleh mengganggu masyarakat dengan jenayah akibat hilangnya kewarasan akal peminumnya. Begitu juga dengan judi, pelacuran, dan seumpamanya.
Bersukan pula ialah dengan tujuan untuk menyihatkan badan adalah dituntut Islam. Tetapi jika terus menerus bermain atau jika permainan itu melibatkan masa yang panjang atau mata penamatnya terpaksa memakan masa yang cukup panjang sehingga boleh meninggalkan solat fardhu atau permainannya melibatkan belanja yang mahal sehingga mengabaikan kewajipan berzakat juga dianggap sebagai maksiat. Perbelanjaan jenis pertama ini agak jelas dan mudah untuk dikenalpasti bagi tujuan untuk menghindarinya.
- Perbelanjaan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk.
Sikap menunujuk-nunjuk dalam perbelanjaan biasanya dikaitkan dengan perbelanjaan ke atas barang-barang mewah. Barangan mewah ini merupakan barang yang tidak diperlukan untuk keperluan atau kemudahan hidup tetapi ia sebaliknya untuk tujuan prestij, gaya hidup moden, bermewah-mewah, berbangga-bangga, dan menunjuk-nunjuk.
Islam meletakkan sikap ini sebagai riya' dan diharamkan dalam Islam, kerana ia merupakan syirik (kecil). Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya’ ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 32/301)
Nabi SAW pernah menjelaskan tentang makna riya’. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Mahmud Bin Labid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya: ”Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kcil wahai Rasulullah. Nabi saw berabda : Itulah Riya’. Allah swt akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).”
Riwayat Ahmad ( 23630) di dalam Musnadnya. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Bulugh al-Maram (330) menyatakan sanad hadith ini HasanSyeikh Farid al-Ansari membahagikan riya’ kepada beberapa bahagian. Iaitu riya’ pada agama,tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain, iaitu:
- Riya’ pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat
- Riya’ pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.
- Riya’ pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku’ yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.
Walaupun begitu, realitinya sikap bermegah-megah ini tidak hanya terbatas kepada perbelanjaan ke atas barang mewah sahaja, tetapi ianya juga boleh terjadi ke atas barang-barang lain seperti barang kemudahan mahupun ke atas barang keperluan asas, asalkan ada terselit niat menunjuk-nunjuk dalam penggunaannya. Perbelanjaan jenis kedua ini juga agak mudah untuk dikenalpasti.
- Perbelanjaan sia-sia.
Perbelanjaan sia-sia melibatkan perbelanjaan ke atas sesuatu yang halal secara berlebih-Iebihan, melebihi dari had keperluan. Perbelanjaan seumpama ini tidak wajar kerana ia tetap dikira membazir. Barang yang terlebih itu akan rosak dan terbiar, sedangkan orang lain yang lebih memerlukan boleh mengambil manfaat daripadanya jika ia diberikan kepada orang tersebut. Perbelanjaan jenis ini agak sukar untuk dikenalpasti dan diukur. Justeru, kita dinasihatkan supaya berwaspada dan berhati-hati agar tidak terjerumus di dalam perbelanjaan yang sia-sia.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa perbuatan pembaziran ini mestilah ditinggalkan. Hal ini kerana perbuatan ini jelas bercanggah dengan prinsip Islam, iaitu dengan berlaku adil pada harta yang dimiliki dengan meletakkan ia pada tempat yang sepatutnya.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.