Skip to content

S:495 Sujud atas Sejadah yang Terlalu Empuk

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah sah jika seseorang solat di atas sejadah yang empuk dan lembut sehingga tenggelam dahi apabila sujud? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Sujud

Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Lihat Nihayah al-Muhtaj1/509)

Pengertian sujud pada syara’ ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan dengan tempat sujudnya.

Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-Haj: 77)

Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah dan Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta  Nabi SAW untuk mengajarnya solat. Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadith tersebut:

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”

(Riwayat al-Bukhari (6667)

Begitu juga telah berlaku ijmak dikalangan muslimin dari kalangan salaf dan khalaf dan tidak ada siapapun yang mengingkarinya.

Syarat Sah Bagi Sujud

Sujud adalah merupakan salah satu dari rukun fi’li (Perbuatan) daripada rukun-rukun dalam solat. Bagi setiap rukun-rukun tersebut, terdapat syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Berkenaan rukun sujud, kami membawakan beberapa hadis Nabi SAW yang menjadi istidlal mazhab Syafi’ie. Antaranya ialah:

إِذَا سجَدْتَ فمَكِّنْ جَبهَتَك، وَلَا تَنْقُرْ نَقْرًا

Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.”

Riwayat Ibnu Hibban (1884)

Sabda Rasulullah SAW:

‏ أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ: عَلَى الْجَبْهَةِ - وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ - وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya“Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat Bukhari (779) dan Muslim (490)

Dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, terdapat 7 syarat sah bagi sujud, iaitu:

1) Hendaklah ia sujud di atas tujuh anggota

2) Hendaklah dahinya terbuka

3) Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud

4) Tidak ada niat lain selain sujud

5) Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya

6) Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala

7) Thama'ninah (Lihat Nail al-Raja’, hlm. 179 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/136)

Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi'e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadith menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Dalam sebuah hadirh riwayat Abu Humaid RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الأَرْضِ، وَنَحَّى يَدَيْهِ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bila bersujud, baginda akan sentuhkan hidungnya dan dahinya dengan tanah dan baginda menjauhkan kedua-dua belah tangan daripada dua rusuknya dan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan selari dengan dua bahunya.” 

Riwayat al-Tirmidzi (270)

Imam al-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadith ini menyebut,"Dalam bab ini diriwiyatkan juga daripada Ibn Abbas R.anhuma, Wail bin Hujr RA, Abu Sa'id RA. Hadith Abu Humaid ini merupakan hadith Hasan Sahih. Ahli ilmu mengatakan, seseorang mesti sujud dahi bersama dengan hidung, tetapi sekiranya dia sujud tanpa mengenakan hidung, maka sujudnya sah." sebahagian ahli ilmu pula mengatakan, tidak sah kecuali dia sujud bersama dahi dan hidung." (Lihat Sunan al-Tirmidzi, 2/59)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan,”Jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung.” (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 2/125)

Terdapat juga hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak menyebutkan anggota hidung di dalam sujud, antaranya riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ، وَلاَ يَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا: الجَبْهَةِ، وَاليَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ

Maksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): Dahi, dua tangan, dua lutut, dan dua kaki.” 

Riwayat al-Bukhari (809)

Di dalam hadith ini, tidak disebutkan anggota hidung, terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ بِأَعْلَى جَبْهَتِهِ عَلَى قِصَاصِ الشَّعْرِ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW sujud ditempat paling tinggi di dahinya atas hujung rambutnya.”

 Riwayat al-Darqutni (1320)

Syeikh ‘Ubaidillah bin Muhammad Abd al-Salam al-Mubarakfuri menukilkan riwayat daripada Tamam di dalam fawaidnya dan selainnya: “Apabila baginda sujud di bahagian atas pada dahi, maka hidung baginda tidak terkena pada tempat sujud.” ( Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/205)

Justeru, dapat difahami bahawa, kebanyakan para ‘ulama mengatakan bahawa yang wajib dalam anggota sujud adalah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat, tanpa kami nafikan pandangan sebahagian ulama’ yang mengatakan kedua-duanya merupakan anggota sujud yang wajib.

Sujud di Atas Sejadah yang Empuk

Sepertimana yang kami telah jelaskan di atas, secara asasnya, Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahikedua-dua tapak tangankedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ على سَبْعَةِ أعْظُمٍ على الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ على أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.” 

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Hal ini juga seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh al-Syafie, antaranya Syeikh Hasan al-Kaff dengan berkata bahawa: “Hendaklah seseorang itu sujud di atas tujuh anggota iaitu: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki.”  (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 221)

Justeru itu, daripada syarat sujud di atas, maka dahi mestilah diletakkan dan ditempelkan di atas tempat sujud, tidak kira sama ada seseorang itu sujud di atas tanah atau di atas alas seperti tikar, sejadah atau tilam. Selain itu, disyaratkan juga ketika sujud untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud. Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan perkara ini bahawa:

التَحَامُل بِراْسِهِ : بِحيْثُ لَوْ سَجَدَ عَلَى قُطنٍ لانكبست

Maksudnya: “Disyaratkan untuk menekan kepalanya (pada tempat sujud sehingga tetap dahi), iaitu pada kadar jika sekiranya dia sujud di atas kapas, maka ia melekat.”  (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 221)

Oleh sebab itu, hendaklah diperhatikan kepada ketebalan sejadah tersebut, sama ada ia boleh untuk tetap dan berjejak dahinya ketika sujud ataupun tidak. Sekiranya ketebalan dan kelembutan sejadah tersebut menyebabkan dahi tidak tetap dan tidak boleh ditekan, seolah-olah berada dalam keadaan terapung kerana terlalu lembut, maka tidak sah sujudnya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum sujud di atas sejadah yang empuk dan lembut adalah sah dan dibolehkan jika sekiranya apabila ditekan dahi padanya, maka dahi itu tetap dan berjejak pada tempat sujud tersebut. Ini kerana antara syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahikedua-dua tapak tangankedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud. Selain itu disyaratkan juga, untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.

Oleh itu, jika sekiranya sejadah tersebut terlalu empuk dan lembut sehingga tidak menjadikan dahi seseorang tetap dan berjejak pada tempat sujud dan dirasakan seolah-olah terapung, maka tidak sah sujudnya di atas sejadah seperti itu.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H