Skip to content

S:498 Basuh Anggota Wudhu' Lebih Tiga Kali

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum membasuh anggota wudhu’ lebih dari tiga kali? Ini kerana saya selalu melihat ada orang yang membasuh tangan atau wajahnya berkali-kali, mungkin sehingga lima kali atau lebih. Apa hukum perbuatan ini, dan adakah dibenarkan? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Wudhu’

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Wudhu’ diambil dari perkataan (الوضاءة) iaitu kebersihan dan kesegaran.

Manakala dari segi syarak, wudhu’ merupakan penggunaan air bagi membasuh anggota-anggota yang dikhususkan. Dinamakan wudhu’ kerana menyucikan dan menyegarkan. Terdapat juga syarat, fardhu serta sunatnya yang harus disempurnakan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/69)

Secara lebih jelas, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu. (Lihat al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ahhlm. 123)

Pensyariatan Wudhu’

Allah SWT mensyari’atkan wuduk bagi mengangkat hadas bagi seseorang yang ingin melaksanakan ibadah yang tertentu seperti memegang mushaf al-Quran, solat, tawaf dan seumpamanya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa kewajipan mengambil wuduk adalah ketika hendak mendirikan solat pada masa yang sama dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Di samping itu, Rasulullah SAW juga menganjurkan umatnya supaya mengambil wuduk pada situasi bukan ibadah seperti untuk tidur, makan, berada dalam keadaan marah dan sebagainya. Hal ini disebutkan Syeikh Abdullah Ibn Abd al-Rahman Bafadil al-Hadramiy di dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, dengan berkata:

يُسْتَحَبُّ الْوضُوءُ مِن الفَصْد والحَجَامَةِ والرُعَافِ وَالنُّعَاس وَالنَّوْمِ قَاعِدًا مُمكنا مَقْعَدَته والقَيْء وَالقهقهة فِي الصَّلَاة وَأَكْل مَا مَسَّتْهُ النَّار وَأَكْل لَحْم الْجَزُور وَالشَّكّ فِي الْحَدَث وَمِن الْغَيْبَة والنميمة وَالْكذب والشتم وَالْكَلَام الْقَبِيح وَالْغَضَب ولإرادة النّوم ولقراءة الْقُرْآن والْحَدِيث وَالذكر وَالْجُلُوس فِي الْمَسْجِد والمرور فِيهِ ودراسة الْعلم وزيارة الْقُبُور وَمن حمل الْمَيِّت ومسه

Maksudnya: Bahawa disunatkan untuk mengambil wuduk bagi sesiapa yang berbekam, hidung berdarah, mengantuk, tidur yang tetap punggungnya, muntah, batuk di dalam solat, memakan sesuatu yang dibakar dengan api, memakan daging unta, syak tentang hadas, ghibah, mengumpat, berdusta, mengeji orang lain, mengungkap perkataan yang teruk, marah, ingin tidur, membaca al-Quran dan hadith, berzikir, duduk di dalam masjid, melintasi masjid, mempelajari ilmu, menziarahi kubur, mengusung mayat dan menyentuhnya. (Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 37)

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RAnhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ، فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: “Apabila kamu pergi ke tempat tidur kamu, maka hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk kamu untuk mendirikan solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.”

Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)

Syarat Sah Wuduk

Syarat sah wuduk, Syeikh Dr. Muhammad Zuhaili telah membahagikan kepada beberapa perkara di antaranya ialah:

Begitu juga di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah mendatangkan syarat-syarat sahnya wuduk di antaranya ialah menggunakan air bersih dan mesti mengalirkan air ke atas anggota wuduk. (Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 43/330)

Anggota-Anggota Wuduk yang Wajib untuk Dibasuh

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Oleh itu, secara ringkasnya kita dapat ketahui bahawa anggota wuduk yang wajib dibasuh ialah:

Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut maka hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ini seperti membaca Basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan setiap anggota dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, menggosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain. (Lihat  Kasyifah al-Saja, hlm. 20)

Sunat Membasuh Setiap Anggota Wuduk dengan Tiga Kali Basuhan

Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan bagaimana wuduk Nabi SAW. Para ulama telah menyatakan bahawa termasuk dalam perkara sunat ialah membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Usman bin Affan RA bahawa:

أَنَّهُ دَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ عِنْدَ الْمَقَاعِدِ، فَتَوَضَّأَ ثَلاثًا ثَلاثًا، ثُمَّ قَالَ لِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هَلْ رَأَيْتُمْ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ هَذَا ؟ قَالُوا : نَعَمْ

Maksudnya: “Beliau (Usman) telah meminta air dan berwuduk berdekatan tempat duduk. Beliau telah berwuduk sebanyak tiga kali, tiga kali. Kemudian berkata kepada para sahabat Nabi SAW : Adakah kamu semua telah melihat Rasulullah SAW melakukan begini? Mereka menjawab : Ya.”

Riwayat Ahmad (488). Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaut sanadnya adalah kuat. (Lihat Musnad Ahmad, 1/523)

Syeikh Daud al-Fatani menyatakan bahawa dikira tiga kali bagi air yang mengalir dengan melalui tiga kali olak (pengaliran) air ke atas anggota berkenaan, dan bagi air yang tenang dengan digerak-gerakkan anggota sebanyak tiga kali. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/54)

Membasuh Anggota Wuduk Melebihi Tiga Kali Basuhan

Walau bagaimanapun, di dalam riwayat Abdullah bin Amr ada menceritakan bahawa:

جاءَ أعرابيٌّ إلى النَّبيِّ -ﷺ- يسألُهُ عنِ الوُضوءِ؟ فأراهُ الوُضوءَ ثلاثًا، ثمَّ قالَ : هكَذا الوُضوءُ فمَن زادَ على هذا فقَد أساءَ وتعدّى، وظلمَ

Maksudnya : “Seorang Arab Badwi telah datang bertemu Nabi SAW, bertanyakan mengenai (cara) wuduk? Baginda telah mengajarkannya supaya berwuduk dengan tiga kali basuhan (bagi setiap anggota). Kemudian, baginda bersabda : Beginilah cara berwuduk (yang benar), sesiapa yang menambah daripada ini (melebihi 3 kali basuhan), maka dia telah melakukan keburukan, melampaui batas dan berlaku zalim.”

Riwayat al-Nasaie (140)

Para ulama telah menyatakan bahawa membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali adalah makruh hukumnya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan:

وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى كَرَاهَةِ الزِّيَادَةِ عَلَى الثَّلَاثِ وَالْمُرَادُ بِالثَّلَاثِ الْمُسْتَوْعِبَةِ لِلْعُضْوِ وَأَمَّا إِذَا لَمْ تَسْتَوْعِبِ الْعُضْوَ إِلَّا بِغَرْفَتَيْنِ فَهِيَ غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ

Maksudnya: Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/109)

Imam Syafie juga ada menyebutkan mengenai perkara ini di dalam kitabnya :

وَلَا أُحِبُّ لِلْمُتَوَضِّئِ أَنْ يَزِيدَ عَلَى ثَلَاثٍ وَإِنْ زَادَ لَمْ أَكْرَهْهُ

Maksudnya: Dan aku tidak suka bagi seseorang yang berwuduk untuk menambah (dalam basuhannya) melebihi tiga kali. Akan tetapi, sekiranya dia menambah (melebihi), aku tidak memakruhkannya.” (Lihat al-Umm, 1/47)

Imam al-Nawawi menerangkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie ‘tidak memakruhkannya’ di atas ialah ‘tidak mengharamkannya’. Begitu juga, dengan kenyataan Imam Syafie yang lain menyebutkan bahawa beliau tidak suka jika seseorang melebihi 3 kali basuhan (ketika berwuduk), akan tetapi sekiranya dia buat, perkara tersebut tidak memudaratkannya iaitu tidak berdosa. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/439)

Ini menunjukkan bahawa perbuatan melebihi tiga kali basuhan bagi setiap anggota ketika berwuduk adalah makruh.

Sekalipun membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali makruh hukumnya, perbuatan tersebut tidak membatalkan wuduknya selagi mana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna. Wuduknya tetap sah. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi :

إذَا زَادَ عَلَى الثَّلَاثِ فَقَدْ ارْتَكَبَ الْمَكْرُوهَ وَلَا يَبْطُلُ وُضُوءُهُ هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً وَحَكَى الدَّارِمِيُّ فِي الِاسْتِذْكَارِ عَنْ قَوْمٍ أَنَّهُ يَبْطُلُ كَمَا لَوْ زَادَ فِي الصَّلَاةِ وَهَذَا خَطَأٌ ظَاهِرٌ

Maksudnya: “Sekiranya seseorang menambah (basuhan) lebih daripada 3 kali, maka dia  telah melakukan perbuatan yang makruh. Namun, (perbuatan itu) tidaklah membatalkan wuduknya. Ini adalah merupakan mazhab kami (Syafie) dan mazhab kebanyakan ulama. Al-Darimi telah menukilkan daripada segolongan ulama di dalam kitabnya al-Istizkar, bahawa wuduk terbatal, sebagaimana (hukum) sekiranya seseorang menambah-nambah (rukun) di dalam solatnya. Pendapat ini telah jelas kesilapannya.” ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/440)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa membasuh anggota wuduk secara melebihi tiga kali basuhan adalah makruh. Akan tetapi, wuduknya tetap sah dan tidak membatalkan wuduknya selagimana  air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, basuhan tersebut hanya dikira setelah dia sempurna mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota wuduk berkenaan. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman contohnya. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan. Imam al-Ramli ada menyebutkan bahawa syarat sebelum membasuh untuk kali kedua dan ketiga adalah perlu menyempurnakan basuhan wajib (yang pertama). (Lihat Nihayah al-Muhtaj,1/188)

Kami juga telah menjawab isu bilangan basuhan anggota wudhu' di dalam Ahkam al-Syari'iyyah : #477 Bilangan Basuhan Ketika Berwudhu’

Marilah sama-sama kita renungi kata-kata Syeikh Mulla Ali al-Qari yang menyatakan berlebihan dalam berwuduk seperti menambah lebih dari tiga kali basuhan, tidak ada kebaikan dalam perkara yang berlebihan tersebut. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/421)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H