Skip to content

S:500 Mencukur Bulu Kaki

Posted on:December 21, 2023 at 03:07 AM

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukumnya jika seseorang lelaki atau perempuan itu mencukur buku kakinya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perbuatan mencukur bermaksud memotong hingga ke pangkalnya dengan menggunakan pisau cukur atau alat yang seumpamanya.[1]

Berkenaan dengan isu mencukur bulu-bulu yang terdapat pada anggota badan manusia, para ulama mengkategorikan hukumnya kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama: Bulu-Bulu Yang Terdapat Perintah Untuk Mencukurnya.

Di dalam nas -nas syarak, terdapat beberapa perintah yang mengarahkan supaya dicukur beberapa jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuh manusia. Ini sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang menjadi fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.”

 Riwayat al-Bukhari (5889)

Para ulama apabila mengulas kalimah Istihdad daripada hadis di atas mengatakan, maksudnya adalah: Mencukur bulu kemaluan. Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya. ( Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 253)

Imam al-Nafrawi dari kalangan fuqaha bermazhab Maliki menyatakan bahawa bulu-bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan. (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/306)

Berdasarkan hadis di atas, terdapat tiga bulu yang disebutkan untuk dipotong iaitu bulu kemaluan, bulu ketiak, dan juga misai. Maka kita diperintahkan untuk memotong, mencukur, atau mencabutnya.

Kedua: Bulu Bulu Yang Terdapat Larangan Mencukurnya

Terdapat bulu-bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Di antaranya adalah memotong atau mencukur janggut bagi orang lelaki. Larangan ini dapat kita lihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: “Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.”

Riwayat Muslim (259)

Juga berdasarkan sebuah riwayat yang turut diriwayatkan daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Berbezalah kalian dengan orang musyrikin, kekalkan janggut dan potonglah misai.”

Riwayat al-Bukhari (5892)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini: Perintah Nabi berkaitan janggut bererti, kekalkanlah ia iaitu biarkanlah ia dalam keadaan yang banyak. ( Lihat Fath al-Bari, 10/350)

Perintah Nabi SAW untuk membiarkan janggut bererti juga dalam masa yang sama baginda melarang dari perbuatan mencukur janggut. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang disebutkan oleh Imam Al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini Rahimahullah: Perintah untuk melakukan sesuatu adalah larangan kepada perbuatan yang menyelisihinya. Manakala larangan melakukan sesuatu adalah perintah kepada meninggalkannya.

Selain itu, di antara bulu-bulu yang dilarang mencukurnya juga adalah bulu kening. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

 Riwayat Muslim (2125)

Kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: النامصة adalah wanita yang membuang bulu-bulu daripada mukanya. Manakala المتنمصة adalah wanita yang meminta untuk bulu-bulu tersebut dibuang. Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila seorang perempuan itu tumbuh janggut atau misai, maka tidak haram untuk membuangnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas isu perempuan memotong janggut dan misainya ini dengan katanya: Ia terikat dengan keizinan dari suami dan pengetahuan suaminya. (Lihat Fath al-Bari, 10/390)

Imam al-Nawawi berkata lagi: Mazhab kami adalah apa yang telah kami sebutkan berkenaan keharusan membuang janggut, misai, serta العَنْفَقَةُ (‘anfaqah) iaitu bulu-bulu kecil yang tumbuh di antara bahagian bawah bibir hingga dagu (bagi kaum perempuan). Sesungguhnya larangan di dalam hadis adalah kepada bulu kening dan bulu-bulu yang berada di bahagian muka. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/285)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini menyebutkan: Al-Nammash adalah membuang bulu muka dengan menggunakan alat pencukur. Dikatakan perbuatan tersebut adalah khusus kepada bulu kening dengan tujuan untuk meninggikan keduanya atau untuk menyamaratakan di antara keduanya.

Ibn Hajar turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud di dalam Al-Sunan dengan katanya: النامصة adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan) bulu keningnya. Beliau juga turut menukilkan kata-kata Imam Al-Thabari yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun dari asal penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya. ( Lihat Fath al-Bari, 10/390)

Ketiga: Bulu Bulu Yang Didiamkan oleh Syarak

Ini bermaksud, tidak ada nas dari syarak baik dari al-Quran ataupun Sunnah Nabi SAW yang mengarahkan bulu-bulu ini untuk dipotong atau melarang bulu-bulu ini dari disimpan. Maka ia kembali kepada hukum asalnya sesuatu iaitu keharusan. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Salman al-Farisi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ

Maksudnya: “Halal itu adalah apa-apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, dan haram itu adalah apa-apa yang Allah haramkan di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang Allah diamkan tentangnya (hukumnya) maka ia termasuk di antara perkara yang dimaafkan.”

Riwayat Ibn Majah (3367)

Al-Sindi berkata apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini bertepatan dengan sebuah hadis lain iaitu:

إِنَّ اللهَ أَمَرَكُمْ بِأَشْيَاء فَامْتَثِلُوهَا وَنَهَاكُمْ عَنْ أَشْيَاء فَاجْتَنِبُوهَا وَسَكَتَ لَكُمْ عَنْ أَشْيَاء رَحْمَةً مِنْهُ فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu semua beberapa perkara maka lakukanlah ia, dan Dia melarang kamu semua beberapa perkara maka jauhilah ia. Dan Dia mendiamkan (tentang hukum) beberapa perkara disebabkan sifat rahmat dari-Nya maka janganlah kamu bertanyakan berkenaannya.

Secara keseluruhannya, hadis tersebut membawa kepada: Sesungguhnya asal (hukum) pada setiap perkara itu adalah halal. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/326)

Beberapa contoh bulu tersebut adalah seperti bulu dada, bulu betis, bulu paha, bulu hidung, bulu yang terdapat di lengan, serta selainnya yang tidak terdapat arahan untuk memotongnya serta tidak terdapat larangan untuk menyimpannya. Justeru, dalam hal ini seseorang itu boleh sahaja menyimpan bulu-bulu tersebut iaitu tidak memotongnya, dan dia boleh juga untuk memotongnya sekiranya dia mahu.

Kesimpulan

Kami berpendapat, hukum asal mencukur bulu kaki bagi orang perempuan ataupun orang lelaki adalah harus. Ini kerana tidak terdapatnya arahan untuk mencukurnya serta tiada pula larangan untuk menyimpannya. Walaupun begitu, jika sekiranya memotong atau mencukur bulu-bulu tersebut boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) lelaki kepada perempuan, maka hukumnya adalah dilarang.

Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan, serta golongan perempuan yang menyerupai lelaki.”

 Riwayat al-Bukhari (5885)

Al-Hafiz Ibn Hajar apabila mensyarahkan hadis ini menukilkan kata-kata Imam Al-Thabari berikut: Tidak dibolehkan bagi orang lelaki untuk menyerupai orang-orang perempuan pada pakaian dan perhiasan yang khusus bagi kaum wanita dan begitulah juga sebaliknya. Kata Al-Hafiz Ibn Hajar: Demikian juga (tidak boleh menyerupai) pada ucapan dan juga cara berjalan. Adapun celaan tasyabbuh (penyerupaan) pada ucapan dan cara berjalan itu adalah khas kepada sesiapa yang sengaja melakukannya. Adapun sesiapa yang memang asal kejadiannya sebegitu, dia diperintahkan untuk berusaha sedaya mungkin meninggalkannya. (Lihat Fath al-Bari, 10/345)

Namun sekiranya menurut uruf masyarakat setempat tidak menganggap apabila licinnya kaki seseorang lelaki itu daripada bulu kaki sebagai suatu yang menyamai perempuan, maka tidak ada sebarang masalah untuk mencukurnya dan ia kekal dengan hukum asal keharusannya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

 

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=cukur